Anifah Aman umum hasrat Tanding DUN Bongawan

KOTA KINABALU : Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) Tan Sri Anifah Aman mengumumkan hasrat kembali bertanding di DUN Bongawan pada PRN akan datang.

Bekas menteri persekutuan itu berkata, hasratnya bukan semata-mata mahu mencabar penyandang, Dr Daud Yusuf daripada Warisan, sebaliknya memperjuangkan hak rakyat kawasan berkenaan yang masing dibelenggu masalah kemudahan asas seperti hospital dan jalan raya.

“Saya hormati beliau (Daud) sebagai rakan tetapi penduduk Bongawan mahukan pembangunan setaraf sebuah daerah penuh.

“Ini telah lama dijanjikan, sepatutnya sudah dinikmati tapi masih belum dirasai,” katanya di Facebook.

Pada PRN16, semua calon PCS kalah di semua 73 kerusi DUN, termasuk ditandingi Anifah di Bongawan.

Mengulas formula pembahagian kerusi antara parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), bekas Ahli Parlimen Kimanis itu berkata, PRN bukan medan untuk berebut siapa paling banyak kerusi, sebaliknya peluang parti membawa kemenangan.

“Keabsahan kerajaan adalah berdasarkan berapa banyak kerusi yang dimenangi. Perjuangan PCS dalam GRS jelas, kami junjung perjuangan bersama untuk kemenangan bersama.

“Fokusnya bukan jumlah calon tapi yang penting boleh menang kerusi untuk GRS. Semua komponen GRS perlu kekalkan perpaduan demi kestabilan politik dan manfaat untuk negeri dan rakyat,” katanya.