KENINGAU: Parti WARISAN kini bersiap sedia berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijangka diadakan dalam tempoh terdekat.
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal, berkata WARISAN sudah matang menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah serta terbaharu dalam PRN Johor lalu.
Katanya, WARISAN pernah mengalami fasa menjadi pembangkang, selepas itu berjaya memerintah negeri Sabah, kini menjadi status pembangkang semula.
“Kita akan memperkasakan WARISAN di Sabah. Dalam tempoh sama WARISAN bersedia akan bertanding di Semenanjung pada PRU15 ini.
“WARISAN kini sudah matang, pelbagai liku-liku perjuangan sudah dilalui sekali gus yakin rakyat bersedia menerima WARISAN dalam PRU15 akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Iftar Ramadan Bersama Masyarakat Keningau di Kampung Padang Tembak, di sini semalam.
Sementara dalam perkembangan sama, kesatuan pelbagai masyarakat, keunikkan kaum serta anutan agama di Sabah perlu dikekalkan untuk diwariskan kepada generasi muda akan datang.
“Kita lihat dalam daerah Keningau ini, masyarakatnya terdiri daripada pelbagai latar belakang. Kita perlu saling hormat-menghormati diantara satu sama lain. Disamping itu sentiasa bertoleransi meskipun mempunyai latar belakang yang berbeza,” katanya.
Menurutnya, kemerdekaan sudah dilalui lebih daripada 60 tahun, dalam tempoh sama masyarakat negeri ini masih tidak dapat menikmati kemudahan asas yang sempurna.
“Bukan sahaja di Keningau, malah dearah lain di Sabah masih tidak mempunyai asas termasuk bekalan air dan elektrik yang tidak mencukupi, disamping kemudahan jalan raya juga tidak sempurna. Rakyat kena sedar, sudah lebih 60 tahun merdeka,” katanya.