Kerajaan sentiasa perihatin memperkukuhkan institusi kekeluargaan di negeri ini – Mohd Dahlan

KOTA KINABALU: Kerajaan sentiasa prihatin untuk memastikan golongan sasar terutama ‘Ibu Tunggal’ mendapat pengetahuan peranan sebagai ketua keluarga dalam memperkukuhkan institusi kekeluargaan di negeri ini.

Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Dr Mohd Dahlan A. Malek, berkata tugas serta tanggungjawab ini penting agar ibu tunggal dapat memastikan agar anak mereka tidak terjebak dalam masalah sosial serta kekurangan kasih sayang.

2. Prof Dr Mohd Dahlan menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut.

Katanya, usaha ini perlu diterapkan kepada setiap ketua keluarga agar anak mereka bebas daripada gejala ini sekali gus jika berlarutan akhirnya boleh menjejaskan masa depan mereka.

“Kita sedar penentu aras keharmonian sesebuah keluarga bukan semata-mata kerana pangkat, harta, darjat dan kebendaan. Namun penentu sesebuah kebahagian keluarga adalah berpandukan kepada niat kita kepada Allah.

3. Antara peserta yang mengikuti Program Sentuhan Kasih Ramadan anjuran UMS dan AADK.

“Untuk menjadikan keluarga yang dimiliki ini sebagai aset pelaburan masa depan di dunia dan akhirat, keharmonian setiap keluarga adalah berbeza namun ia perlulah dipupuk dari asas agama serta kehidupan melalui ilmu kehidupan dan institusi kekeluargaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Sentuhan Kasih Ramadan khusus kepada golongan ibu-ibu tunggal, anjuran bersama UMS dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan Negeri Sabah (AADK), di sini semalam.

Mohd Dahlan berkata, membentuk sebuah keluarga yang harmoni memerlukan satu pengorbanan besar dari pelbagai sudut termasuk bersedia berkorban masa bagi bersama-sama mereka.

Justeru, ibu bapa dan ahli keluarga merupakan faktor pelindung serta role model dalam memastikan anak-anak mengambil contoh dan teladan terbaik dalam meniti arus kehidupan masa kini.

“Kita banyak mengambil contoh beberapa kejadian yang berlaku dilaman sosial sehingga ada kalangan ketua keluarga sanggup melakukan perkara yang tidak diingini terutama kepada ahli keluarga mereka.

“Alhamdulillah setakat ini, kes yang berlaku di negeri ini stabil…Usaha seperti ini perlu dilipatgandakan agar kejadian berlaku di negeri lain tidak berulang di Sabah,” katanya.