Warisan pilih bergerak solo hadapi PRN Sabah

LAHAD DATU : Mengakui berdepan kekurangan dari segi material, parti Warisan tetap yakin mengharungi pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi dengan bergerak solo dan menawarkan kelebihan lain yang mereka miliki.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, menegaskan keputusan tersebut di Lahad Datu, Sabah, malam tadi.

Katanya, tiada sebarang kerjasama dijalin Warisan dengan mana-mana parti untuk berdepan dengan pihak lawan apabila PRN Sabah dilangsungkan pada tahun ini.

Mohd Shafie menegaskan Warisan lebih selesa untuk bergerak sendiri berbanding menjalin kerjasama dengan parti lain, malah yakin mampu mencatat kejayaan yang diharapkan.

“Kita (Warisan) nyatakan tidak pernah ada perbincangan atau keputusan bergabung dengan mana-mana parti.

“Kita tawarkan keupayaan kita. Mungkin kita tidak banyak duit, tapi kita pemimpin orang Sabah di sini.

“Tidak kira bangsa, sama ada Kadazandusun Murut, Brunei, Kedayan, Bajau, semuanya di sini,” katanya dipetik BH Online hari ini.

Bekas Naib Presiden Umno itu dipetik sebagai berkata demikian selepas menghadiri majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf di Masjid Daerah Kecil Tungku, Lahad Datu.

Untuk rekod, Sabah bakal mengadakan PRN kali ke-17 tidak lama lagi ekoran mandat terkini yang diperolehi kerajaan berakhir pada suku ketiga tahun ini.

Kali terakhir negeri itu mengadakan PRN ialah pada 2020 dan Mohd Shafie merupakan ketua menteri ketika itu namun gagal memperoleh majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

PRN berkenaan diadakan beberapa bulan selepas kerajaan pusat yang ditadbir PH ditumbangkan melalui Langkah Sheraton.

Satu lagi parti utama di Sabah – BN – juga belum memutuskan sama ada perlu bekerjasama dengan mana-mana pihak atau akan memilih langkah solo juga bagi berdepan dengan parti Gabungan Rakyat Sabah selaku kerajaan semasa.

Kata Mohd Shafie, sebagai parti berbilang kaum, Warisan yakin mampu mengulangi sejarah seperti pernah dicatat Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang pernah memenangi PRN pada 1970-an hingga 1990-an.

Dia yang juga Adun Senallang menambah, jika mendapat mandat dan membentuk kerajaan negeri selepas ini, Warisan yakin mereka mampu mengangkat Sabah ke tahap yang lebih baik.

Dewan Undangan Negeri Sabah mempunyai 73 kerusi.