KOTA KINABALU: Warisan bersedia menjadi parti nasional dan akan mengambil pendekatan berbilang bangsa dalam dasarnya.
Presidennya, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, ramai ahli politik dari Semenanjung Malaysia, termasuk beberapa orang Umno bertanya bila parti itu akan beralih ke platform nasional.
“Kita perlu meluaskan sayap. Keputusan akhir akan dibuat Majlis Tertinggi Warisan tidak lama lagi dan kami akan berada di sana. Kami akan fokus untuk menjadi berbilang bangsa dalam pendekatan kami, tetapi juga memastikan nilai Islam sentiasa ditegakkan.
“Kami menjangkakan ramai pengundi muda akan menyertai kami kerana mereka lebih berani terhadap perubahan. Politik berbilang bangsa ialah caranya untuk negara,” katanya dalam laporan FMT online hari ini.
Bekas Ketua Menteri Sabah itu ditanya jika Warisan sudah bersedia melebarkan sayap ke Semenanjung dan memainkan peranan aktif pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Shafie berkata, Warisan akan menjalin kerjasama politik dengan MUDA dan pengumuman akan dibuat tidak lama lagi.
“Saya turut menawarkan peluang kepada Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk calon partinya bertanding atas tiket Warisan pada PRU15, jika Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) gagal mendaftarkan parti itu nanti. Terpulang kepadanya untuk menerima tawaran itu.
“Saya turut menasihatkan beliau supaya tidak menetapkan had umur untuk pemimpin dan ahlinya kerana ia tidak praktikal.”
Terdahulu, Shafie dilaporkan berkata, beliau yakin hala tuju politik negara akan berubah susulan pelaksanaan Undi18 dan politik perlu terbuka kepada semua, bukannya berdasarkan kaum lagi.