KOTA KINABALU: Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan wacana bertajuk “Kelestarian Pendidikan Sains di Sabah: Hasrat, Realiti dan Masa Depan” baru-baru ini.
Wacana secara dalam talian itu antara lain bertujuan untuk mewujudkan platform kepada pembuat dasar, penyelidik, ahli akademik, wakil industri, para pendidik, badan korporat dan komuniti untuk berkongsi pendapat serta harapan dan strategi dalam mengatasi isu pendidikan sains di Sabah.
Ia juga bagi menghimpunkan perspektif pelbagai pemegang taruh yang berkepentingan bagi menyenaraikan kaedah-kaedah, cadangan serta strategi yang sesuai untuk diutarakan sebagai kertas dasar pendidikan sains di negeri ini.
Perasmiannya disempurnakan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin disini.
Dalam ucapannya, Taufiq memaklumkan bahawa sains dan teknologi terbukti mampu memangkin pembangunan seluruh negara, termasuklah Sabah.
“Justeru, pendidikan sains harus diperkasakan selari dengan dasar mengukuhkan inisiatif pendidikan sains yang telah digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, iaitu untuk memastikan pelajar dilengkapi dengan kemahiran yang relevan dalam menghadapi cabaran global yang kompetitif.
“Pemerkasaan proses pengajaran dan pembelajaran sains di bilik darjah perlu ditingkatkan demi melahirkan pelajar berkualiti yang seterusnya akan menjadi modal insan dan tenaga kerja yang berdaya saing dalam berdepan dengan cabaran arus ekonomi global semasa,” katanya.
Terdahulu, Dekan FPP, Profesor Madya Dr. Sabariah Sharif dalam ucapan aluannya berkata, pendidikan sains di Sabah ketika ini berdepan dengan cabaran-cabaran yang unik mengikut konteks setempat.
“Justeru, pensyarah bidang sains sebulat suara berpendapat bahawa pelaksanaan program wacana ini mampu bertindak sebagai medium dan platform efektif dalam mengumpulkan perspektif dari pelbagai pihak tentang cabaran-cabaran dan cadangan-cadangan yang bakal menggariskan panduan kepada pemerkasaan pendidikan sains di negeri ini.
“Diharapkan agar wacana ini mampu bertindak sebagai platform perkongsian pintar yang menghimpunkan pelbagai cadangan yang diutarakan.
“Pada masa sama, ia juga mampu mewujudkan jaringan kerjasama antara pemegang taruh yang berkepentingan di Sabah,” jelas beliau yang juga merupakan Ketua Penganjur wacana tersebut.
Berlangsung secara dalam talian wacana itu mengetengahkan tokoh dan pakar bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam penyampaian tiga ucaptama.
Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dr. Latip Muhammad menyampaikan ucaptama berkaitan hasrat, realiti dan masa depan pendidikan sains.
Pengerusi Persatuan STEM Kebangsaan, Profesor Dato’ Dr Noraini Idris, pula menyampaikan ucaptama berkaitan cabaran pendidikan STEM.
Profesor Dr. Lilla Halim dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyampaikan ucaptama bertajuk “Pemilihan Kerjaya STEM: Apa kata pelajar?”
Program yang julung-julung kalinya itu turut menyaksikan empat sesi perbincangan meja bulat melibatkan 29 ahli panel daripada pelbagai organisasi termasuk pegawai KPM dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, guru-guru, murid, wakil pihak industri dan komuniti.
Perbincangan itu mengupas isu kebolehpasaran graduan sains di Sabah, meneroka isu pendidikan guru sains di Sabah, menelusuri senario kurikulum dan iklim sekolah dalam pendidikan sains di Sabah serta mendalami bagaimana sokongan keluarga dan komuniti dalam pendidikan sains di Sabah.