Warisan fokus perkuat parti sebelum jalin kerjasama dengan pihak lain

SEREMBAN: Parti Warisan (Warisan) berhasrat memfokus kepada usaha memperkuat parti itu terlebih dahulu sebelum memutuskan kerjasama dengan gabungan dan parti lain, kata Presidennya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata keutamaan Warisan ketika ini ialah membina ‘rumah’ di negeri dan bahagian yang dilihat berpotensi ditawan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Yang penting kita perkukuhkan rumah kita dulu… apabila rumah kita dah kuat, baru cerita siapa rakan kongsi, siapa rakan gabungan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pejabat Perhubungan Parti Warisan Negeri Sembilan di sini hari ini.

Mengakui bukan mudah untuk Warisan bertanding secara solo di Semenanjung berbanding Sabah, Ahli Parlimen Semporna itu berkata pihaknya akan meneliti gabungan mana yang bersesuaian diwujudkan bagi menghadapi PRU15.

“Kita sedar bukan mudah kalau kita bertanding berseorangan tetapi di Sabah dah biasa dah. Di Sabah (kita) berjaya (sebagai) satu parti sahaja, tiada gabungan… saya yakin di Semenanjung formula itu tidak boleh dipakai kerana di sini (perlu) ada kerjasama dengan parti lain,” katanya.

Ditanya mengenai jumlah kerusi Parlimen yang akan ditandingi Warisan pada PRU-15, Mohd Shafie berkata perkara itu belum diputuskan.

— BERNAMA