KOTA KINABALU: Sabah selaku negeri utama pengeluar biji koko negara, mengeksport sejumlah RM16.16 juta koko dan produk-produk koko pada tahun lalu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata daripada jumlah tersebut, nilai eksport coklat adalah sebanyak RM7.72 juta atau 10.6 peratus.
Beliau berkata, tahun lalu Sabah menyumbang 59 peratus daripada jumlah pengeluaran biji koko negara, iaitu sebanyak 540 tan metrik dan menyumbang kepada 57 peratus atau kira- kira 3,444 hektar daripada keluasan tanaman koko negara seluas 6,000 hektar.
“Sehingga hari ini Sabah masih menjadi penyumbang utama bagi industri koko di seluruh negara sama ada dari segi keluasan mahu pun pengeluaran biji koko mentah yang bermutu”.
“Sebanyak lima daerah menjadi kawasan penanaman koko yang aktif di Sabah iaitu Ranau, Kota Marudu, Tenom, Kota Belud dan Tambunan”, katanya ketika merasmikan Pesta Koko Sabah 2022 di Imago Shopping Mall, hari ini.
Hajiji optimis, sejajar dengan pemulihan ekonomi, kegiatan hiliran koko dijangka akan terus berkembang dengan peningkatan nilai produk separa proses koko dan produk akhir koko.
Justeru katanya, usaha-usaha berterusan perlu dilakukan oleh pihak berkaitan khususnya Lembaga Koko Malaysia (LKM) sebagai peneraju utama koko Malaysia, untuk memastikan perkembangan berterusan koko sebagai tanaman komoditi ketiga terbesar di negara ini.
Menurutnya, pelbagai strategi telah dirangka bagi memastikan industri koko berupaya kekal sebagai satu aktiviti ekonomi yang berdaya saing dan berdaya tahan, seterusnya menyumbang kepada pendapatan negara.
Beliau berkata, sejajar dengan halatuju strategi jangka panjang bagi meningkatkan sumbangan terhadap ekonomi dan pendapatan negara, strategi untuk meningkatkan penggunaan koko tempatan menerusi pelbagai medium promosi akan terus dilaksanakan serta dipergiatkan.