KOTA KINABALU: Kakitangan awam khususnya di Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBBS) yang diberi amanah dan tanggungjawab samada kuasa dan tugasan hendaklah menjalankannya dengan penuh integriti.
Menterinya Datuk Ellron Angin berkata integriti secara umumnya ialah kualiti unggul yang wujud secara keseluruhan pada individu dan organisasi yang memberi penekanan kepada etika kerja yang berlandaskan tugasan harian.
“Kepercayaan harus dilaksanakan dengan telus, tulus, tiada konflik peribadi, berwibawa, akauntabiliti, patuh kepada undang-undang dan peraturan semasa yang berkuatkuasa dan lebih mengutamakan kepentingan awam,” katanya pada Majlis Sambutan Minggu Integriti Peringkat Kementerian Belia Dan Sukan Sabah Tahun 2023 bertempat di sini, semalam.
Justeru, katanya, dalam konteks kakitangan yang diberi amanah, keselarasan di antara amalan dan tindakan dengan prinsip moral, etika dan peraturan perkhidmatan awam hendaklah konsisten dalam semua aspek.
Sementara itu, Ellron berkata pihak pengurusan kepimpinan di KBBS perlu sentiasa berusaha memperbaiki sistem dan budaya kerja yang lebih baik dan teratur.
Ini, katanya, bagi mengelak dan membendung segala teguran dan mencegah sebarang perkara yang negatif samada dari dalam dan luar kementerian itu.