KOTA KINABALU: Pemindahan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) ke Kimanis dijangka mengambil masa antara tiga hingga lima tahun.
Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad (QSB) Datuk Dr Yusof Yacob berkata, langkah itu memerlukan perancangan teliti, justeru QSB telah membuat kajian serta laporan lengkap mengenainya yang dibentangkan kepada Unit Perancangan Ekonomi negeri Sabah (UPEN) sebelum dibawa ke peringkat kabinet negeri.
“Pandangan UPEN positif, cuma keputusan kerajaan negeri untuk melaksanakan.
“Tetapi pada masa yang sama akan banyak lagi koordinasikan yang perlu dilaksanakan, antaranya dengan Syarikat Berjaya Land Berhad, Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Airport Berhad,” katanya di sini hari ini.
Pada sidang Dewan Undangan Negeri Julai tahun lepas, Hajiji dilaporkan berkata kerajaan negeri tidak mengeluarkan sebarang kos kewangan kepada syarikat Berjaya Land Berhad (BLB) untuk menjalankan kajian terperinci mengenai cadangan pembangunan LTAKK baharu di Kimanis.
Hajiji turut dilaporkan berkata anak syarikat kerajaan negeri iaitu QSB juga tidak membayar sebarang kos untuk terlibat dalam menjalankan kajian berkenaan.
Yusof merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin berkata beliau juga telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Pengangkutan Anthony Loke baru-baru ini serta beberapa pihak yang berkaitan bagi membincangkan perkara tersebut.
Beliau berkata mereka menghargai rancangan itu sebagai visi jangka masa panjang Sabah dan ia bukan hanya untuk membina lapangan terbang semata-mata tetapi juga untuk meluaskan lagi pembangunan Kota Kinabalu.
Katanya pemindahan LTAKK ke Kimanis akan mewujudkan pembinaan beberapa perkhidmatan sokongan seperti pembinaan pusat latihan aeroangkasa, pusat pembaikan kapal terbang selain membangunkan bandar raya baharu iaitu bandar raya lapangan terbang di kawasan seluas 15 ribu hektar.
“Pembinaan LTAKK itu juga tidak akan mengganggu kawasan yang juga menempatkan Terminal Minyak dan Gas (SOGT) di Kimanis,” katanya sambil menambah kos pembinaan LTAKK akan dibiayai pelabur-pelabur daripada syarikat swasta.