Warga Emas Dikhuatiri Tertimbus Dalam Runtuhan Tanah

PENAMPANG: Seorang lelaki warga emas berusia 97 tahun dikhuatiri tertimbus selepas rumahnya ranap dalam kejadian runtuhan tanah di Kampung Sarapung, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.10 petang, rumah dua tingkat jenis separuh kekal itu dipercayai ditimbus tanah runtuh sepenuhnya, susulan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, dua mangsa dikenal pasti berada di dalam rumah ketika kejadian.

“Seorang mangsa wanita berjaya diselamatkan oleh orang awam dan hanya mengalami cedera ringan, manakala seorang lagi — lelaki warga emas — masih hilang dan dipercayai tertimbus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang berdepan cabaran getir apabila laluan utama ke lokasi dinaiki air dan tidak boleh dilalui kenderaan.

“Anggota bomba terpaksa berjalan kaki sejauh tiga kilometer untuk sampai ke kawasan kejadian.”

Penilaian awal mendapati kerja mencari dan menyelamat (SAR) memerlukan bantuan jentera berat.

“Permintaan sudah dimaklumkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD). SAR Masih Dijalankan,” jelasnya.

Setakat ini, operasi SAR masih diteruskan dengan bantuan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta penduduk kampung.

Orang ramai dinasihatkan berjaga-jaga, khususnya di kawasan cerun atau berisiko tanah runtuh berikutan cuaca tidak menentu