KOTA KINABALU: Video muzik “Kita Jaga Sabah” bukan sekadar karya seni, sebaliknya manifestasi suara hati dan komitmen rakyat untuk menjaga negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Beliau berkata, pelancaran rasmi video muzik itu membuktikan bakat anak Sabah mampu menghasilkan karya luar biasa yang bukan sahaja menyatukan masyarakat, malah membangkitkan semangat perpaduan.
“Apabila kita menyebut Kita Jaga Sabah, ia bukan sekadar slogan. Ia seruan bersama bahawa tanpa mengira bangsa, agama atau kedudukan, kita semua mesti memikul tanggungjawab menjaga negeri ini,” katanya di sini hari ini.
Hajiji turut menzahirkan penghargaan kepada penerbit Farish Aziz yang menghimpunkan penyanyi popular Sabah termasuk Stacy, Elica Paujin, Feroq, Dabra Sia, Meba, Anip dan Nuvel, manakala lagu dicipta oleh Anas Amdan.
Katanya, gabungan tenaga kreatif tempatan itu membuktikan seni mampu menjadi medium penyatuan rakyat, selain menyalurkan mesej positif kepada masyarakat khususnya golongan belia.
Hajiji turut memuji program Tamu Suara 360 anjuran Majlis Belia Sabah dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan yang menyediakan platform untuk anak muda menyuarakan pandangan mengenai masa depan negeri.
Beliau menegaskan kerajaan negeri akan terus memberi sokongan kepada usaha memperkasakan belia dalam bidang seni, budaya, sukan dan keusahawanan demi melahirkan generasi berdaya saing.
“Dengan semangat Kita Jaga Sabah, saya yakin kita mampu membina negeri yang maju, harmoni dalam perpaduan serta inklusif untuk semua rakyat,” katanya.
