Warga emas bersama 2 cucu maut dalam kebakaran di Labuan

LABUAN : Seorang warga emas dan dua cucunya maut selepas terperangkap dalam kebakaran rumah dua tingkat di Labuan, tengah malam tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan, Abd Rahman Ali, berkata, mangsa dikenali sebagai Morris Chong Hoon Cheung, 65, ditemui rentung di dapur.

Katanya, manakala cucunya, Shahwin Kind Chong Shahmioon, 11, dan Shayviann Kyrona Ruby, 8, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan awal di lokasi, dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam itu.

Katanya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 12.27 tengah malam.

“Dua pasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labuan Sentral dan BBP Layangan kemudiannya dikejarkan ke lokasi sejauh tujuh kilometer itu.

“Terdapat lima lagi mangsa terperangkap dalam rumah tersebut melibatkan empat kanak-kanak dan seorang lelaki dewasa,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Abd Rahman berkata, dalam kejadian itu, empat kanak-kanak dalam keadaan tidak sedarkan diri telah berjaya dikeluarkan oleh anggota.

“Mereka diserahkan kepada pasukan perubatan untuk rawatan awal di lokasi.

“Tiga daripada mereka diberi bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) namun dua daripadanya disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” jelas Abd Rahman.

Menururnya, dua lagi kanak-kanak yang cedera masing-masing berusia 13 dan 12 tahun kemudian dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Hasil pemeriksaan lanjut pihak bomba kemudian menemui seorang mangsa rentung di bahagian dapur dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Operasi memadam kebakaran ditamatkan pada 2.22 pagi,” katanya.