Wanita UPKO Libaran sambut baik usaha Kerajaan Perpaduan menoktahkan kemiskinan

SANDAKAN: Mesyuarat Pergerakan Wanita Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu

(UPKO) Libaran telah mengambil ketetapan untuk memperkukuhkan pergerakan tersebut menjelang pilihan raya negeri yang akan diadakan pada tahun hadapan.

Ketua Wanitanya, Rusianah Lampog berkata, beberapa program turun padang akan dijalankan untuk memberikan penerangan di akar umbi berkenaan dasar-dasar Kerajaan Perpaduan dan kemudahan yang wujud untuk membantu usahawan dan koperasi.

Katanya, UPKO Wanita Libaran menyambut baik perancangan pihak Kerajaan Persekutuan dalam usaha menoktahkan kemiskinan tegar di seluruh negara, terutamanya di daerah-daerah di Sabah.

“Kami telah diberikan mandat oleh Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick untuk mengenalpasti dan membantu usahawan wanita dan koperasi baru yang ingin memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka di Sabah,” katanya.

Menurutnya, Ketua Bahagian UPKO Libaran, Dr Peter Jr Naintin juga memberikan sasaran untuk mengangkat 100 wanita di Libaran untuk dijadikan usahawan dan penubuhan satu koperasi wanita.

“Selain daripada pendidikan formal, kaum wanita juga mempunyai ruang untuk mendapatkan kemahiran tertentu dan membuat perniagaan kecil dalam usaha membantu menambah pendapatan keluarga dan seterusnya keluar daripada kepompong kemiskinan,” kata Rusianah.

Beliau berkata, wanita UPKO Libaran juga akan berusaha untuk mengumpulkan dana bagi tujuan menyediakan sekurang-kurangnya 100 bakul makanan untuk diagih-agihkan kepada ibu tunggal, warga emas, orang kurang upaya dan fakir miskin di kawasan Libaran menjelang bulan Ramadan tahun ini.