LCCC ucap terima kasih kepada Anthony Loke – Wong Kii Yii

LABUAN: Dewan Perniagaan Cina Labuan (LCCC) mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang telah memasukan Labuan dalam penetapan  harga tiket penerbangan maksimum dari Semenanjung pada kadar RM599.

Presidennya, Datuk Wong Kii Yii berkata, sebelum inj Menteri Pengangkutan hanya menamakan Sabah dan Sarawak sahaja diberikan penetapan harga maksimum tiket penerbangan  dari Semenanjung tanpa memasukan Labuan.

Wong berkata, pihaknya sudah pun membuat rayuan kepada Menteri berkenaan agar Labuan juga di berikan penetapan harga maksimun seperti apa yang dinikmati Sabah dan Sarawak.

“Saya telah suarakan masalah ini kepada beberapa menteri yang datang ke Labuan termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Menteri Wilayah) Zaliha Mustafa supaya perkara ini dapat disampaikan kepada Menteri Pengangkutan Anthomny Loke.

“Kami telah berjaya menyuarakan masalah ini dan kami ucapkan terima kasih kepada Anthony Loke, kerana suara kami didengar dalam senarai penetapan harga maksimun tiket penerbangan RM599”, katanya dalam kenyataan media hari ini.

Pada Sabtu, Anthony Loke dalam satu kenyataan berkata, kerajaan telah bersetuju menetapkan RM599 harga maksimum tiket penerbangan kelas ekonomi sehala dari Semenanjung ke Sabah, Sarawak dan Labuan untuk tempoh perjalanan tiga hari menjelang sambutan Aidilfitri.

Beliau berkata, ia antara lain membantu melancarkan percutian orang ramai balik beraya ke kampung halaman masing masing pada April nanti.

Bagaimanapun Wong berkata, adalah lebih baik penetapan harga itu tidak hanya tertakluk pada musim perayaan sahaja, atau boleh diturunkan lagi bagi memastikan penduduk Labuan khususnya yang akan ke semenanjung bagi urusan  perubatan, keluarga serta urusan peribadi agar tidak dibebani dengan harga tiket yang begitu mahal.

Sebelum ini ramai warga Labuan termasuk ahli-ahli perniagaan,  kakitangan awam serta pelajar yang mempunyai keluarga di semenanjung mengeluh berikutan harga tiket kapal terbang perjalanan sehala ke Kuala Lupur begitu mahal sehingga mencecah ribuan ringgit.