Wanita UMNO Sabah kekal pendirian terus sokong Presiden UMNO – Noraini

KOTA KINABALU : Wanita UMNO Sabah terus konsisten menyokong Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk terus menjalankan tugas sebagai presiden parti walaupun wujud beberapa desakan untuk beliau berundur ekoran prestasi merundum UMNO pada Pilihan Raya Neheri (PRN) di enam buah negeri baru-baru ini.

Ketuanya Senator Datuk Noraini Idris berkata desakan Presiden UMNO untuk meletakkan jawatan bukanlah jalan tuntas yang boleh menyelasaikan masalah tapi seharusnya semua pihak perlu mencari solusi bagaimana mahu menarik kembali sokongan pengundi Melayu kepada UMNO.

“Wanita UMNO Sabah akan terus menyokong kepemimpinan dan mengekalkannya, ahli UMNO perlu bersikap rasional dan adil dalam menangani isu ini tanpa menyalahkan sepenuhnya kepada Presiden.

“Seharusnya kita fokus kepada usaha memulih dan memperkasakan UMNO” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Wanita UMNO Sabah di sini hari ini.

Menurut Noraini tempoh lapan bulan bukanlah satu tempoh yang cukup bagi menerangkan kerjasama antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH) terutamanya melibatkan DAP.

Katanya peluang ini diambil oleh Perikatan Nasional (PN) meniupkan sentiman perkauman, provakasi dan fitnah yang melampau yang meracuni pemikiran rakyat terutamanya pengundi Melayu untuk menolak UMNO/BN dalam PRN baru baru ini

Noraini yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Penampang berkata setiap parti di negara ini melalui sejarah jatuh dan bangunanya sebagaimana yang dialami oleh PAS dan PKR tapi ahlinya tidak pernah meminta Presiden mereka meletak jawatan.

Mengenai pencapaian UMNO/BN dalam PRN di enam negeri di Semenanjung baru-baru ini turut memberikan kesan kepada kekuatan UMNO Sabah, Noraini menangkis dakwaan tersebut terutamanya yang dimainkan oleh parti lawan.

Katanya setuasi dan isu berbeza di Semenanjung dan Sabah, ahli UMNO Sabah jangan terpengaruh dengan presepsi tersebut sebaliknya fokus untuk terus melaksanakan tugas dan tanggungjawab untuk berhadapan dengan PRN akan datang

“ Itu hanya presepsi parti lawan yang cuba menimbulkan proganda, apa yang berlaku di Semenanjung berbeza keadaan dan isunya di Sabah, UMNO Sabah masih kukuh.

“Kita akan fokus memperkukuhkan gerak kerja bagi mencapai obejktif menang dalam PRN akan datang” jelas Noraini.

Sehubungan itu, beliau berkata sebagai tulang belakang parti, sudah pasti Wanita UMNO akan terus menggembleng tenaga memastikan kebajikan rakyat dijaga.

Noraini seterusnya menyeru semua ahli parti untuk terus merapatkan saf, memperkukuhkan parti agar rakyat dapat melihat dengan jelas bahawa UMNO adalah parti yang benar-benar mampu mendukung denyut nadi rakyat.