PAPAR: Gangguan bekalan air yang menjejaskan ribuan pengguna di Parlimen Papar, Kimanis dan Putatan dijangka selesai setelah Projek Penambahan Kapasiti Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon, di sini, siap pada 2026
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata projek itu bagi meningkatkan kapasiti LRA sedia ada daripada 40 juta liter sehari (JLS) kepada 80 JLS.
Katanya, projek itu akan bermula pada bulan ini dan dijangka siap pada Ogos 2026 membabitkan kos sebanyak RM379 juta.
“Dengan peningkatan kapasiti ini, maka masalah air di Papar hingga ke Putatan dan Kimanis akan dapat diselesaikan. Loji ini akan dapat membekalkan air yang cukup hingga 2040,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan pelaksanaan projek berkenaan di LRA Kogopon, di sini, hari ini.
Beliau juga memberi jaminan projek itu akan dilaksanakan mengikut jadual bagi memastikan tiada kelewatan yang menjejaskan bekalan air kepada pengguna.
Selain di Papar, Hajiji berkata kerajaan juga komited menyelesaikan isu bekalan air di daerah lain termasuk di Tawau dan Sandakan.
Bagi masalah air yang dihadapi pengguna di Tuaran dan bandar raya Kota Kinabalu, beliau berkata isu itu dijangka selesai akhir tahun ini selepas projek LRA Telibong 2 siap sepenuhnya.
Katanya, penyiapan projek itu dijangka mampu membekal air mencukupi di Tuaran hingga ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Sepanggar.
