PAPAR: Pembinaan telaga tiub dipertimbangkan sebagai alternatif segera untuk mengatasi gangguan bekalan air di kawasan yang paling bermasalah di daerah ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Armizan Mohd Ali, berkata kaedah itu dilihat sebagai penyelesaian terbaik yang akan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).
Katanya jabatan berkenaan sudah diminta melakukan kajian lokasi sesuai untuk membina telaga tiub berikutan ada pihak korporat sudi memberi sumbangan untuk membiayai pembinaannya.
“Saya minta bantuan JMG buat kajian sama ada sesuai untuk buat ‘tube well’ (telaga tiub) sebab ada pihak korporat yang sudi beri sumbangan untuk ‘tube well’ di Papar.
“Sekarang, kita tengah mencari lokasi paling bermasalah, antara saya nampak sekarang sebab kawasan rumah tinggi iaitu Kondominium Puncak Gloxinia dan Pangsapuri Sagindai di Kinarut,” katanya dalam satu sidang media, di sini.
Ahli Parlimen Papar itu berkata beliau juga memberi perhatian terhadap masalah di Pangsapuri Sagindai dan memastikan penduduk perumahan itu mendapat bantuan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) berhubung gangguan bekalan air yang meruncing.
“Saya baru mendapat maklumat isu di Sagindai dan saya minta bantuan JANS, saya belum turun sana tapi Puncak Gloxinia kita ada komunikasi yang baik antara persatuan penduduk dengan pejabat saya dan JANS.
“Setiap kali ada isu air di sana, kita minta bantuan JANS,” katanya merujuk kepada penghantaran bekalan air menggunakan lori tangki yang akan digerakkan ke lokasi bermasalah.
Katanya langkah jangka pendek itu dijangka berlarutan selama tiga tahun sehingga Projek Penambahan Kapasiti Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon Fasa 2 siap pada Ogos 2026.
Loji yang dilancarkan pelaksanaannya oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor itu sepatutnya dibina pada 2019 dan siap pada tahun lalu, namun tidak dilaksanakan oleh kerajaan negeri sebelum ini.
“Projek ini telah dirancang pada 2013 dan diluluskan di bawah Pelan Pusingan (Rolling Plan) Keempat Rancangan Malaysia Ke-11 untuk pelaksanaan pada 2019 dan dijangka siap pada 2022.
“Malangnya projek ini tidak dilaksanakan oleh kerajaan yang lalu. Saya tidak pasti apa alasannya dan penangguhan itu menyebabkan kos projek yang pada awalnya RM312 juta telah meningkat sehingga RM379 juta.
“Ini sebenarnya punca gangguan bekalan air yg berlaku di Papar dan Putatan, Kondominium Puncak Gloxinia, Kampung Anak, Somboi dan Segindai. Sebab projek ini tidak dilaksanakan pada 2019,” katanya.
Pembinaan projek fasa dua LRA Kogopon itu mampu meningkatkan kapasiti air kepada 80 juta liter sehari (JLS) berbanding 40 JLS ketika ini dan ia disasar mampu bertahan hingga 2040 untuk menampung keperluan di Papar, Putatan dan Kimanis.
