Wanita cedera kebakaran lapan rumah setinggan di Tawau

TAWAU : Seorang wanita melecur di bahagian tangan manakala lima  rumah setinggan atas air musnah dalam kebakaran di Batu 4, Kampung Cempaka, di sini malam tadi.

Ketua Balai Bomba Penyelamat Tawau, Timbalan Penguasa Bomba Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.17 malam kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian sejauh 18 kilometer.

Katanya, pasukan Bomba bersama 25 anggota BBP Tawau dibantu sembilan anggota Bomba Komuniti Kampung Titingan memadamkan kebakaran menggunakan dua aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan sumber air terbuka dari laut.

“Kebakaran ini membabitkan lapan buah rumah setinggan jenis tidak kekal yang didirikan di atas air.

“Lima daripadanya terbakar 100 peratus manakala tiga lagi terbakar kira-kira 10 peratus,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jemishin berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.20 malam sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya sejam kemudian.

“Seorang mangsa wanita berusia 50 tahun dilaporkan melecur di bahagian tangan diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS Bomba di lokasi kejadian.

“Operasi pemadaman ini turut dibantu anggota daripada Sabah Eletricity Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” jelas Jemishin.