Meter Air Haram ditemukan, untuk peroleh bekalan Air secara haram di Kampung Likas

KOTA KINABALU : Jabatan Air Sabah menemukan ‘Meter Air Haram’ dipercayai dipasang ke bahagian paip agihan utama di kawasan Kampung Cempaka Likas di sini kelmarin.

Jurucakap Jabatan Air berkata, kegiatan ini memberi gambaran seolah-olah individu yang mencuri air itu merupakan pengguna berdaftar.

Kontraktor Jabatan Air Sabah menanggalkan penyambungan paip haram.

Katanyq, selepas semakan dijalankan di Bahagian Akaun Jabatan Air Sabah mendapati nombor peranti pada meter air haram terbabit tidak didaftarkan dalam sistem kami.

“Kita mengesahkan meter air yang digunakan ini ‘Meter Lupus’ manakala pihak Unit Penguat kuasa sudah menanggalkan paip tersebut.

“Kita percaya mungkin ada lagi wujud penyambungan ini di beberapa kawasan lain, kerana ia didapati disambungkan secara haram ke saluran bekalan paip utama,” katanya kepada Sabah News Today di sini semalam.

Jurucakap itu mendakwa, pihaknya menanggalkan 16 paip plastik lain dari saluran paip utama yang dikenal pasti sebagai penyambungan paip haram.

“Kita sedang menyemak serta menjalankan siasatan secara terperinci bagaimana sumber peranti itu mereka dapat diperoleh.

Jabatan Air Sabah sedang menanggalkan paip haram di kawasan Kampung Likas.

“Mengikut undang-undang sedia ada kedua-dua pembekal dan pengguna peranti ini, boleh dikenakan tindakan kerana melanggar Enakmen Air Sabah 2003,” katanya.

Menurutnya, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM100,000, hukuman penjara maksimum satu tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Jabatan Air Sabah berusaha meningkatkan penguatkuasaan untuk membanteras kes kecurian air di kawasan Likas ini tetapi ia sangat mencabar.

“Kami sudah menyedari masalah ini sudah berlaku sejak sekian lama. Bekalan air hanya sampai ke beberapa premis, manakala ada tempat seperti di Lorong Cempaka langsung tidak mendapat bekalan,” jelasnya.

Beliau berkata, pihaknya berusaha untuk “menolak” air ke Kampung Cempaka Baru Likas dalam usaha mengurangkan masalah itu.