Gempa bumi kuat di Filipina dirasai di Tawau dan Semporna

KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi kuat bermagnitud 7.9 yang melanda Mindanao, Filipina pagi ini dilaporkan turut dirasai oleh penduduk di beberapa kawasan di Sabah.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), gempa itu berlaku pada jam 7.37 pagi pada kedudukan kira-kira 97 kilometer selatan Koronadal City, Filipina.

Beberapa penduduk di Tawau dan Semporna dilaporkan merasai gegaran selama beberapa saat susulan kejadian tersebut.

MET Malaysia bagaimanapun mengesahkan bahawa gempa bumi berkenaan tidak menimbulkan ancaman tsunami kepada Malaysia.

Orang ramai dinasihatkan mendapatkan maklumat rasmi daripada MET Malaysia bagi mengelakkan penyebaran maklumat tidak tepat.