Hajiji nasihat penduduk pantai timur Sabah bertenang

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menasihati penduduk di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu supaya bertenang serta mematuhi arahan pihak berkuasa susulan amaran tsunami yang dikeluarkan selepas gempa bumi kuat di Mindanao, Filipina pagi tadi.

Beliau berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) di daerah terlibat telah diaktifkan bagi memantau dan menguruskan situasi semasa.

Menurutnya, kerajaan negeri melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri turut memantau perkembangan tersebut secara rapi.

“Adalah penting untuk rakyat kekal bertenang dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MetMalaysia sebelum ini memaklumkan ombak tsunami setinggi 0.4 meter dijangka melanda beberapa kawasan pantai di pantai timur Sabah antara jam 10.30 pagi hingga 12 tengah hari.