Wan Saiful letak jawatan Ketua Penerangan berkuatkuasa hari ini – Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Presiden Bersatu Tan Sei Muhyiddin Yassin mengesahkan peletakan jawatan Datuk Wan Saiful Wan Jan sebagai ketua penerangan parti itu berkuat kuasa hari ini. 

Ini selepas Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu mengumumkan keputusannya untuk mengundur diri daripada jawatan tersebut. 

“Saya dah jumpa dengan Wan Saiful – YB Tasek Gelugor pagi tadi dan lepas kita berbincang, dia setuju untuk letak jawatan sebagai ketua penerangan Bersatu berkuat kuasa hari ini.  

“Ini bukan kerana kita kata dia sudah bersalah tapi tetapkan satu  standard yang kita nak tunjukkan kerana berhadapan dengan tuduhan supaya tak timbulkan apa-apa salah pandangan terhadap Bersatu,” katanya di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, peletakan jawatan Wan Saiful itu tugas penerangan parti – yang penting menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi akan digalas oleh pemimpin lain.

Katanya pengganti Wan Saiful akan dilantik secepat mungkin.

“Jadi orang itu akan meneruskan kerja-kerja baik yang telahpun dibuat oleh YB Datuk Wan Saiful,” katanya.

Dia juga berharap langkah diambil Bersatu itu dapat mengelak sebarang tanggapan negatif terhadap parti.

“Jadi ia (peletakan jawatan) sikap yang cukup mulia, supaya dengan langkah ini kita dapat berhadapan dengan rakyat atas dasar yang bermaruah.

“Ini bukan menghukum tapi sukarela yang saya rasa sangat bermaruah,” katanya.