KOTA KINABALU: Tahap prasarana pendidikan sekolah perlu dilengkapkan dengan pelbagai kemudahan untuk meningkatkan tahap pendidikan di Sabah.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya berkata, Ini termasuklah pembinaan sekolah baharu, disamping penambahbaikan sekolah sedia ada dan pembelian peralatan serta perisian pendidikan terkini.
Katanya, pada 16 Julai 2020, Menteri Kanan (Pendidikan) pada ketika itu memaklumkan sehingga Mei 2020, sebanyak 414 sekolah di Sabah mempunyai bangunan pada tahap skala impak enam yakni tidak selamat.
“Perlata ini dengan pengesahan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), manakala 52 sekolah mempunyai bangunan tahap skala impak tujuh iaitu bangunan tidak selamat dengan pengesahan Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Menurut rekod JPNS pada tahun 2022 terdapat 1,071 sekolah rendah dan 221 sekolah menengah di negeri Sabah. Namun daripada bilangan sekolah tersebut terdapat sekurang-kurangnya 54.5 peratus sekolah di Sabah disifatkan berkeadaan daif dan uzur serta memerlukan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan segera,” katanya.
Menurutnya, sebagai contoh, Sekolah Kebangsaan Tansau iaitu salah sebuah sekolah yang terdapat dalam Parlimen Putatan.
“Terdapat satu blok bangunan konkrit dua tingkat di sekolah ini yang menempatkan kelas-kelas pengajaran dan pembelajaran murid. Blok bangunan ini telah diisytiharkan sebagai tidak selamat oleh JKR sebanyak dua kali pada tahun 2015 dan 2022.
Laporan ini telah dihantar ke Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan salinan kepada JPNS.
Namun begitu, sehingga kini tiada sebarang tindakan atau kerja-kerja pembaikan dijalankan. Hal ini menyebabkan murid-murid di terpaksa menggunakan blok bangunan kayu lain yang telah usang,” jelasnya.