KUDAT: Amalan turun padang, adalah antara empat ciri utama yang perlu ada pada setiap wakil rakyat bagi membolehkan mereka diterima secara menyeluruh oleh rakyat.
Timbalan Ketua Menteri,Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, wakil rakyat perlu rajin turun padang untuk meninjau sendiri masalah rakyat di kawasan mereka.
“Jika ini menjadi budaya dan amalan setaip wakil rakyat jalinan hubungan kemesraan antara pemimpin dan rakyat diperingkat akar umbi akan terus kukuh menjadi asas kepada rakyat untuk terus menyokong pemimpin dan kerajaan” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengetuai program gotong-royong sempena Pemukiman `Retreat Backbenhers’ para wakil rakyat GRS di Kampung Langung Ayang Kudat baru-baru ini.
Sebanyak tiga kumpulan menyertai program tersebut masing-masing melaksanakan program gotong royong membaiki rumah seorang penduduk di Kampung Langung Ayang, membaiki masjid di Kampung Bahagia dan membaiki gelanggang takraw di Kampung Gumpa.
Menurut Bung yang juga Menteri Kerja Raya negeri, program amal yang dilakukan ini sejajar dengan apa yang selama ini ditekankan oleh kerajaan, selain merupakan antara prinsip utama yang ditekankan oleh perdana menteri melalui konsep Keluarga Malaysia.

Beliau berkata, konsep Keluarga Malaysia turut menekankan supaya pembangunan negara bersifat ‘inclusive’, iaitu tidak ada rakyat yang akan disisihkan, ditinggalkan dan dipinggirkan daripada mendapat manfaat pembangunan dan pembaharuan yang akan diusahakan di negara ini.
Bagi menjayakan pembangunan ‘inclusive’ itu, bukan sahaja kerajaan perlu menentu dan melaksanakan program-program amal, tetapi wakil-wakil rakyat juga diharap dapat membantu mencapai objektif ini melalui aktiviti dan program yang dianjurkan.
“Jadi melalui jaringan sosial seperti ini lebih ramai orang kurang upaya dan golongan daif dapat dibantu sekaligus dapat mencapai matlamat pembangunan secara inclusive,” katanya.
