Naik taraf sistem ramalan cuaca elak impak lebih teruk – Bung Moktar

KOTA KINABALU: Sistem ramalan kaji cuaca yang lebih canggih, berketepatan tinggi dan cepat perlu diwujudkan bagi memberi amaran awal mengenai kemungkinan berlaku bencana terutama banjir.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata sistem sedia ada sekarang kurang berkesan menyebabkan impak bencana menjadi lebih teruk, khususnya di Sabah.

Katanya, maklumat cuaca dan amaran mengenai kemungkinan berlaku bencana alam perlu disalurkan segera seawal mungkin supaya orang ramai boleh bersiap-siaga menghadapi kemungkinan banjir di kawasan masing-masing.

“Jika kita memiliki sistem ramalan kaji cuaca yang lebih canggih dan berkesan, kita boleh bersedia lebih awal dan ini sudah tentu mampu mengurangkan kesan daripada banjir yang berlaku selain dapat menggerakkan bantuan lebih awal kepada mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau mengulas banjir yang berlaku di kawasan utara Sabah, khususnya di Kudat dan Pitas semalam, berikutan hujan lebat berterusan sejak kelmarin.

Setakat malam tadi, seramai 221 penduduk daripada 69 keluarga dipindahkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Pitas.

Banjir turut menyebabkan beberapa kawasan rendah, termasuk laluan di sekitar bandar Kudat terjejas akibat dinaiki air, semalam.

Ia adalah banjir kedua di utara Sabah, khususnya di Pitas selepas awal bulan lalu yang menyaksikan ratusan penduduk terpaksa dipindahkan ke PPS.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri, berkata pengalaman berhadapan banjir yang berlaku secara tiba-tiba di beberapa negeri termasuk Sabah baru-baru ini perlu dijadikan pengajaran.

Katanya, langkah yang lebih proaktif perlu diambil segera, khususnya aspek ramalan cuaca sebagai antara penambahbaikan dalam usaha kerajaan menangani bencana.

“Kita akan cadangkan perkara ini kepada kerajaan Pusat memandangkan Sabah juga berhadapan dengan risiko banjir yang berlaku hampir setiap tahun,” katanya.

Selain itu, Bung Moktar berkata peralatan bantuan di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di semua daerah di Sabah juga perlu dilengkapkan, selain sentiasa dalam keadaan yang baik.

Katanya, ia bagi memastikan semua peralatan dapat diguna dan digerakkan dengan segera bagi memberi bantuan kepada mangsa apabila berlaku bencana.