KUALA PENYU : Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Beaufort meluluskan usul untuk menubuhkan tabung Pendidikan dan Keusahawanan di kawasan Parlimen Beaufort.
Ketuanya Ak. Mohd Yazri Ak.Mohd Yahya berkata, tabung ini berfungsi sebagai meningkatkan motivasi pelajar selain mampu memperkasakan pencapaian pelajar di kawasan Beaufort.

Katanya, penubuhan tabung keusahawanan pula bertujuan membantu golongan belia untuk menceburi bidang keusahawan sekali gus memberi galakkan terlibat secara langsung dalam bidang berkenaan.
“Tabung Pendidikan berfungsi membantu pelajar memerlukan bantuan, sebagai contoh pelajar yang menghadapi musibah atau tragedi diberikan secara One-Off atau mereka ingin melanjutkan pelajaran tetapi menghadapi masalah untuk membayar wang pendahuluan.
“Tabung Keusahawanan adalah membantu belia ingin menceburi dalam bidang keusahawanan termasuk perniagaan, pertanian dan sebagainya,” katanya di sini hari ini.
Mohd Yazri berkata, satu jawatankuasa khas akan dibentuk untuk merancang serta melaksanakan kedua-dua tabung ini terutamanya bagaimana untuk mendapatkan dana mengisi kedua-dua tabung berkenaan.
“Tabung ini bukan sekadar hanya berfungsi sebagai sumber kewangan tetapi juga turut memberikan penekanan kepada pendekatan lain termasuk bidang pendidikan, mewujudkan kelas tambahan, ceramah motivasi dan sebagainya.
“Dalam bidang keusahawanan Pemuda Umno akan berkolbarasi bersama jabatan atau agensi kerajaan untuk menganjurkan kursus kemahiran serta memberikan maklumat mengenai dana yang disediakan kerajaan kepada mereka,” jelas Mohd Yazri.