PM tidak wajar hadir Himpunan BN Sabah di Sandakan pada 21 Julai ini – Zulkarnain

KOTA KINABALU : Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) berharap agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak hadir pada program ‘Himpunan Barisan Nasional (BN) Sabah dijadualkan 21 Julai ini di Dewan SMJK Tiong Hua Sandakan.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, ini bertujuan menjaga kehormanian diantara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan negeri Sabah pada ketika ini.

Katanya, adalah diakui wujud cadangan menggabungkan komponen Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk menentang GRS pada Pilihan Raya Negeri (PRN17) akan datang.

“Tetapi G57 berkeyakinan kepimpinan PH di Sabah akan menolak cadangan itu dan yakin PH akan terus berkerjasamasa dengan GRS sehingga PRN17.

“Perlu diingat UMNO termasuk Parti Warisan (WARISAN) serta Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) merupakan parti pembangkang di Sabah.

“GRS dan PH adalah parti yang membentuk kerajaan dan sudah tentu kehadiran Perdana Menteri ke perhimpunan tersebut dilihat sebagai satu usaha memecahbelahkan kesatuan diantara GRS dan PH di Sabah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Zulkarnain berkata, tindakan kepimpinan UMNO Sabah mengadakan perhimpunan BN menjemput Perdana Menteri dilihat hanya satu strategi bagi untuk memporak perandakan kesatuan GRS dan PH di Sabah.

“Kita berharap agar Perdana Menteri tidak hadir dan membiarkan kepimpinan UMNO, Barisan Nasional menentukan hala tuju mereka di Sabah.

“Ketika ini memandangkan BN termasuk GRS serta PH bersama-sama membentuk kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan,” jelas Zulkarnain.

Menurutnya, ini bukan soal takut tetapi ia melibatkan kehadiran Perdana Menteri ke perhimpunan BN adalah dilihat tidak wajar memandangkan komponen tersebut merupakan seteru kepada GRS dan PH.

“Kita turut dikhuatiri ia boleh mengundang ketidaktentraman dikalangan parti yang bersama membentuk kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan.

“Perdana Menteri berulang menyatakan keyakinannya terhadap kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor selaku Ketua Menteri Sabah justeru keyakinan itu harus diterjemahkan untuk tidak mencampuri urusan pentadbiran BN di Sabah,” kata Zulkarnain.