TAWAU : Seorang wanita cedera akibat melecur dalam kejadian kebakaran sehingga memusnahkan lapan buah rumah di perkampungan setinggan di Kampung Kinabutan Kecil, Batu 4 Jalan Apas, di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Mohamad Nor Amit berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 1 pagi itu, mangsa berusia 31 tahun itu melecur di bahagian kaki kiri dan muka.
Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian kebakaran itu pada pukul 1.50 pagi dan sepasukan 20 pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi, didapati lapan buah rumah termasuk empat buah kenderaan musnah sepenuhnya dalam kebakaran tersebut dan bomba berjaya menghalang api merebak ke rumah berhampiran dengan membuat ‘fire break’.
“Tindakan pantas bomba memadam kebakaran daripada merebak berjaya menyelamatkan 15 rumah lain daripada turut terbakar,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
