Maritim Malaysia tahan dua kapal pindah minyak tanpa kebenaran

KOTA KINABALU : Dua kapal kargo disyaki melakukan aktiviti pemindahan minyak tanpa kebenaran ditahan berhampiran Pulau Mantanani di sini kelmarin.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, hasil keseluruhan rampasan kedua-dua buah kapal serta minyak diesel dianggarkan berjumlah hampir RM80,000.

Katanya, rondaan operasi dilaksanakan Kapal Maritim(KM) Arau mengesan dua kapal itu dalam keadaan mencurigakan sedang merapat di antara satu sama lain.

“KM Arau bertindak menuju ke lokasi bagi memeriksa kedua-dua kapal berkenaan disyaki melakukan aktiviti Ship To Ship (STS) berhampiran Pulau Mantanani.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua kapal yang berdaftar di Malaysia itu masing- masing dikendalikan oleh lapan kru warganegara Malaysia termasuk nakhoda,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Che Engku Suhaimi berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua kapal berkenaan gagal mengemukakan dokumen lesen (Akta Kawalan Bekalan 1961) CSA dan lesen (Akta Kemajuan Petroleum 1974) PDA bagi tujuan memindahkan minyak diesel.

“Kedua-dua kapal seterusnya ditahan untuk disiasat di bawah Akta Bekalan 1961, Akta Kastam 1987 dan Akta Kemajuan Petroleum 1974.

“Maritim Malaysia serius melaksanakan pemantauan operasi dan penguatkuasaan agar komuniti di laut sentiasa patuh kepada undang-undang yang digariskan oleh pihak berwajib,” jelas Che Engku Suhaimi.

Memurutnya, orang ramai mempunyai sebarang aduan atau  salah laku serta aktiviti jenayah di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di talian 088- 387774 atau talian kecemasan NG999 beroperasi 24 jam.