USO buka ruang pejabat ketiga di Kompleks Ujana Kewangan Labuan

LABUAN : Universal Services Offices and Management Ltd (USO) terus bergerak maju kehadapan  dengan membuka sebuah lagi ruang pejabat yang baharu di Aras 13 (C), Blok 4,  Kompleks Ujana Kewangan  Wilayah Persekutuan Labuan.

Ruang pejabat yang berkeluasan 5,506 kaki persegi  dengan 108 stesen kerja  itu kini sedang giat dibangunkan dan dijangka dapat disiapkan pada awal Mac depan.

Ketua Pegawai Eksekutif USO, Hesham Mansour berkata, pembukaan ruang pejabat baharu itu  didorong berikutan lonjakan dalam perniagaan  yang semakin meningkat khususnya dalam sektor kewangan serta minyak dan gas.

Beliau berkata, dengan adanya ruang pejabat tambahan yang baharu ini akan membantu syarikat kewangan yang berdaftar di Labuan untuk mendapatkan ruang pejabat premium yang  bukan saja lebih kondusif tetapi juga menampilkan kontemporari yang indah selain pemandangan laut yang menarik.

“Kami optimis dengan perkembangan kemajuan ekonomi Labuan yang semakin meningkat  permintaan tinggi  terhadap ruang pejabat turut melonjak,” katanya kepada media selepas melawat tapak bangunan pejabat baharu yang ketiga di Kompleks Ujana Kewangan, semalam.

Turut sama dalam lawatan itu, Pengurus Wilayah USO Management Ltd Imelda Thadeus.

Menurut Hesham, sebelum ini USO mempunyai 169  stesen kerja yang terletak di Aras 16 Ujana Kewangan dan 63 lagi di Aras 6 Pejabat Utama Ujana Kewangan.