KOTA KINABALU : Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) bersepan nilai tunggakkan mencecah sehingga RM262 juta akibat terdapat pengguna di negeri ini enggan menjelaskan bil air mereka.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmey Yahya berkata, keengganan pelanggan JANS membayar bil akan menyebabkan kutipan jabatan itu rendah, sekali gus mengakibatkan implikasi kewangan.
Katanya, beliau tidak menafikan ada menerima maklum balas antara lain berkaitan keengganan pengguna membayar bil berikutan tidak menerima bekalan air seperti diharapkan.
“Ada yang mengatakan bayar ‘angin’ dan sebagainya, tetapi itu perlu disemak. Sebagai pelanggan Jabatan Air kita kena perlu bertanggungjawab, apabila menggunakan air kena bayar bil.
“Setakat beberapa tahun ini, JANS melepasi sasaran kutipan bil dalam RM200 juta hingga RM300 juta disasarkan mereka dapat pungut. Jadi ada pelanggan sebenarnya membayar dan bertanggungjawab,” katanya di sini hari ini.
Shahelmy merupakan Menteri Kerja Raya berkata, My JANS adalah inisiatif diperkenalkan Jabatan Air bagi memberi kemudahan kepada pelanggannya mendapatkan perkhidmatan dalam aplikasi termasuk maklumat bil air, notis dan aduan dengan lebih mudah, cepat dan selamat pada bila-bila masa dan di mana sahaja.