TAWAU : Polis menahan dua lelaki selepas menerima laporan daripada seorang mangsa mendakwa dicekik dan ditumbuk dalam kejadian di kampung Bombalai dekat sini, baru-baru Ini.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata pihak polis telah menerima laporan yang mengatakan terdapat kejadian diluar kawalan dengan niat hendak mencederakan seseorang telah berlaku.
Katanya mangsa yang memandu kenderaan dan ditemani isterinya untuk tujuan balik ke kediaman telah dikejar oleh sekumpulan lelaki dan kenderaannya turut dipukul ketika berselisih dengan mereka (suspek).
“Salah seorang daripada suspek juga dengan sengaja melemparkan batu ke arah kenderaan mangsa sehingga menyebabkan kerosakan di bahagian cermin tingkap sebelah kiri.
“Suspek bersama rakan subahat telah mengancam mangsa menggunakan kayu yang berpaku serta mencekik dan menumbuk muka mangsa sehingga menyebabkan kecederaan serius,” katanya.
Jasmin berkata selepas laporan polis dibuat, sepasukan polis (PDRM) dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau dan dibantu Balai Polis Bombalai membuat serbuan di sebuah rumah di kawasan Bombalai untuk menahan dan menangkap suspek bagi membantu siasatan.
Katanya kedua-dua suspek yang terlibat dibawa balik ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.