Sabah catat pelaburan sebanyak RM10.175 bilion setakat suku ketiga 2023

KOTA KINABALU: Sabah telah mencatatkan jumlah pelaburan sebanyak RM10.175 bilion setakat suku ketiga tahun lalu yang merangkumi pelaburan dalam sektor utama iaitu pembuatan dan perkhidmatan berdasarkan laporan yang diterbitkan oleh pihak Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe berkata, pelaburan dalam sektor pembuatan telah mencatatkan sejumlah RM1.366 bilion daripada jumlah keseluruhan pelaburan tersebut.

“Pelaburan dalam sektor pembuatan ini adalah didorong oleh pelaburan domestik dan ini jelas menunjukkan bahawa pelabur domestik juga berminat untuk melabur di Sabah,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2023 di Shangri-La Tanjung Aru, di sini, malam tadi.

Phoong berkata, pada tahun 2023, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Penyelarasan Perindustrian Negeri (SICC) telah memberi kelulusan State Government Approval (SGA) dalam sektor pembuatan bernilai RM221.152 juta.

“Saya yakin bahawa pelaburan di Sabah sama ada domestik ataupun pelaburan asing akan terus meningkat pada tahun-tahun akan datang,” ujarnya.

Menurut Phoong, antara pencapaian Kementerian untuk tahun 2023 adalah seperti Sabah telah menerima pelaburan dari Syarikat Borneo Cement (Sabah) Sdn Bhd bagi pembangunan sebuah kilang bersepadu klinker dan simen di daerah Tongod dengan anggaran nilai pelaburan berjumlah RM1.11 bilion, bagi fasa pertama pelaburan.

Katanya, kilang ini dijangka akan menghasilkan sejumlah 1.75 juta tan simen setahun dan akan mula beroperasi pada suku pertama tahun 2027.

Dengan adanya kilang bersepadu klinker dan simen tempatan ini, ianya akan mampu untuk menyelesaikan masalah kekurangan bekalan simen dan seterusnya memenuhi permintaan semasa dan masa hadapan, katanya.

“Di samping itu, pelaburan ini juga dijangka akan mengurangkan kos pembuatan simen sekaligus menurunkan harga simen dari lima peratus hingga 10 peratus.”

Kedua katanya, Syarikat SK Nexilis Malaysia Sdn Bhd telah mengeluarkan dan mengeksport kerajang tembaga pertamanya (first shipment) berjumlah 102 tan ke Amerika Syarikat dengan anggaran nilai produk berjumlah RM5.5 juta pada 23 Oktober 2023.

“Apabila kilang ini beroperasi sepenuhnya kelak, jumlah pengeluaran kilang ini adalah sebanyak 57,000 tan setahun dengan anggaran nilai RM2.8 bilion.

“Syarikat SK Nexilis Malaysia Sdn Bhd juga telah menambah dan mengembangkan pelaburannya di Sabah apabila pelabur tersebut melalui syarikat subsidiarinya iaitu Curix Sdn Bhd telah bersetuju untuk melabur bagi kilang copper granulation di KKIP dengan anggaran nilai pelaburan berjumlah RM300 juta.

“Keyakinan Syarikat SK Nexilis Malaysia Sdn Bhd untuk terus menambah dan mengembangkan pelaburannya di Sabah adalah merupakan antara hasil lawatan kerja saya bersama agensi berkaitan ke Korea Selatan pada bulan Julai 2023.”

Ketiga katanya, kilang pembuatan kaca solar Syarikat Kumpulan Kibing di KKIP juga akan mengeluarkan produk pertamanya iaitu kaca solar pada suku pertama tahun 2024.

“Di POIC Lahad Datu pula, Kementerian Kewangan Malaysia telah meluluskan secara dasar seluas 3000 ekar sebagai Zon Bebas selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 3(1), Akta Zon Bebas 1990. Ini telah menambah nilai Taman Perindustrian POIC Lahad Datu.

“Kelima, SOGDC kini mempunyai Pelan Induk Pembangunan yang komprehensif dan menjangkakan berjaya menarik pelaburan yang bernilai RM26.05 billion bagi tempoh pelaksanaan 2024-2035.”

Phoong berkata, pada bulan Ogos tahun lalu, Kerajaan Negeri telah meluluskan penubuhan Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Keusahawanan Negeri Sabah (JPPKNS) yang bertujuan untuk menyelaras program-program pembangunan keusahawanan dan membincangkan isu-isu semasa yang berkaitan dengan keusahawanan.

Katanya, Mesyuarat JPPKNS yang pertama telah diadakan pada 16 Oktober tahun alu dipengerusikan oleh beliau sendiri bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata antara hasil daripada mesyuarat ini, Kerajaan Negeri akan mengenal pasti beberapa syarikat usahawan Sabah yang berpotensi untuk dimajukan dan berupaya menembusi pasaran eksport.