Jalan Pan Borneo Putatan-Inanam hampir 80 peratus siap

PENAMPANG: Pembinaan jalan berkembar Putatan – Inanam sepanjang 21.7 kilometer yang merangkumi jalan lebih pendek ke Bukit Padang sepanjang 2.1 km di bawah Fasa 1 Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah sudah 79.96 peratus siap.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor diberi taklimat mengenai perkembangan itu oleh Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri (Sektor Lebuhraya Pan Borneo), Mohd. Shamsul Nizam Abdul Wahid.

Jalan Pan Borneo Putatan-Inanam hampir 80 peratus siap.

Kerja-kerja itu termasuk pembinaan tiga jambatan baharu merentasi Sungai Moyog, jambatan jenis dry bridge di Kampung Kolopis, tiga pembetung kotak kenderaan di Kampung Kolopis dan Kampung Kitobu.

Manakala tujuh persimpangan baharu di Putatan, Jalan NC Mogunting 1, Jalan NC Mogunting 2, Donggongon, Jalan Penampang Tambunan dan Bukit Padang serta 2.1km spur road ke Bukit Padang.

Projek jalan Putatan – Inanam bernilai RM788,379,040.72, sebahagian daripada 35 Pakej Kerja (WP) di bawah Fasa 1 Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, dijangka siap menjelang November tahun ini.

Setakat 31 Disember 2023, empat WP telah siap iaitu jalan Papar – Donggongon, jalan Tawau – Semporna, pintasan Lahad Datu dan jalan Kampung Lot M – Sandakan Batu 32.

Sebelas WP lagi masih dalam proses manakala lima WP dalam proses perolehan dan 15 WP belum dilancar di bawah Fasa 1B.

Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah sepanjang 1,236km sedang dilaksanakan dalam tiga fasa iaitu Fasa 1: Sindumin – Kota Kinabalu – Kudat.

Manakala dalam fasa 1 itu melibatkan Ranau – Batu 32 Sandakan; Batu 32 Sandakan – Tawau (706km).

Fasa 2: Tamparuli – Ranau (98km) dan Fasa 3: Tawau – Kalabakan – Keningau – Kimanis (432km).

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya, Pembantu-pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Limus Jury dan Datuk Robert Tawik, dan Pengarah Jabatan Kerja Raya, Philemon Lajawai.