Usahawan PMKS terjejas banjir boleh mohon penangguhan bayaran pinjaman: Ewon

JOHOR BAHRU: Usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas banjir boleh memohon penangguhan pembayaran balik pinjaman sekurang-kurangnya tiga bulan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, penangguhan sementara itu bertujuan membantu usahawan PMKS berkenaan memulihkan kembali perniagaan mereka yang terjejas akibat banjir.

“Kita mempunyai dasar untuk membenarkan peminjam di bawah agensi kementerian seperti Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menangguhkan sementara sehingga tiga bulan sekiranya premis perniagaan mereka atau tempat operasi mereka berniaga terjejas banjir.

“Oleh itu saya meminta agensi-agensi di bawah kementerian yang menerima permohonan penangguhan daripada usahawan PMKS yang mempunyai pinjaman daripada agensi berkenaan supaya mempertimbangkan permohonan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita semasa lawatan kerja ke Menara Bank Rakyat di Coronation Square, di sini, kelmarin.

Terdahulu, Ewon diberi taklimat mengenai pembinaan Menara Bank Rakyat setinggi 35 tingkat yang hampir siap sepenuhnya tahun ini.

Coronation Square seluas 2.3 hektar adalah antara Zon Pembangunan Projek Ibrahim International Business District (IIBD).

Beliau juga diberi taklimat mengenai projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura. RTS Link merupakan perkhidmatan ulang-alik sepanjang empat kilometer antara Singapura di stesen Woodlands North dan Malaysia di stesen Bukit Chagar.

Turut hadir Pemangku Pengerusi Bank Rakyat Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank Rakyat Dr Mohammad Hanis Osman, Pengarah urusan Coronade Properties Datuk Patrick Lim dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA Datuk Sr Mohd Salem Kailany.