Pemimpin kini di GRS, dulu juga berada dalam UMNO dan BN Sabah memperjuangkan MA63 – Jeffrey Nor

KOTA KINABALU : Hasrat UMNO Sabah menjemput semua parti di Sabah untuk berbincang tubuhkan ‘Sekretariat Meja Bulat’ bertujuan bagi memperhalusi isu-isu melibatkan pemberian khas 40 peratus melibatkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffrey Nor Mohamed berkata, tiada istilah melucukan apabila Umno Sabah ingin dilantik sebagai sekretariat dalam perbincangan ini berikutan UMNO merupakan komponen terbesar dalam Kerajaan Persekutuan.

Katanya, paling penting semua parti perlu ‘move on’ serta jangan menunding jari kepada sesiapa serta perlu menghadapi masalah ini secara realistik sekali gus menjadikan ini dapat dicapai secara sepakat dalam tempoh terdekat.

“Kita menafikan laporan sebuah portal online kononnya UMNO Sabah sejak kewujudan Umno di Sabah pada 1991 tidak memperjuangkan MA63 termasuk berkaitan tuntutan 40 peratus hasil bersih.

“Portal itu juga mendakwa UMNO Sabah terlalu takut untuk bercakap berkaitan tuntutan melibatkan isu minyak dan gas yang dikuasai Petronas di negeri Sabah.

“Saya tegaskan di sini…cuba nyatakan sejak tahun 1991 siapakah yang menjadi pemimpin dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah adalah merupakan pemimpin yang juga kini berada dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada masa ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jeffrey Nor berkata, kesungguhan pemimpin UMNO sekarang ini menubuhkan Sekretariat Meja Bulat’ ini bukan bertujuan tunjuk ‘Hero atau Overtake’ kesungguhan pemimpin GRS untuk menyelesaikan tuntutan melibatkan pemberian khas 40 peratus melibatkan dalam Perjanjian Malaysia MA63.

“Kita mahu bersama-sama duduk berbincang serta tubuhkan Sekretariat Meja Bulat’ agar semua parti dapat bersama-bersama bagi memperhalusi isu-isu melibatkan pemberian ini.

“Kita yakin isu ini akan dapat diselesaikan secara menang-menang berikutan semua parti di Sabah digabungkan untuk menuntut hak yang selama ini termaktub dalam MA63,” jelas Jeffrey Nor.