150 nelayan di Labuan terima bantuan peralatan menangkap ikan LKIM

LABUAN: Seramai 150 nelayan dari Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Utara dan Selatan di sini menerima bantuan perlatan menangkap ikan yang disalurkan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di bawah Program Peningkatan Penangkapan Ikan (Touch Point).

Kesemua nelayan tersebut menerima bantuan itu yang disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Muhammad Faiz Fadzil sempena Program Rahmah Mesra Madani yang diadakan di Kompleks LKIM, Kiansam dekat sini, semalam.

Menurut Muhammad Faiz, penyerahan bantuan tersebut bertujuan bertujuan membantu meningkatkan pendapatan nelayan golongan B40 yang terlibat dalam aktiviti penangkapan ikan bagi meningkatkan taraf hidup dan kualiti hidup mereka.

Selain itu, katanya, ia juga bertujuan untuk meningkatkan kecekapan serta kemahiran nelayan ke arah peningkatan produktiviti sektor perikanan.

“LKIM telah memperuntukan sebanyak RM145,000 telah diperuntukkan bantuan Touch Point kepada 98 penerima melibatkan pelbagai bantuan perlatan termasuk Enjin Sangkut, Bubu Ketam, Jaket Keselamatan dan Kotak Insulasi,“ katanya ketika ditemui media pada program tersebut.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan bantuan bakul makanan kepada 50 penerima Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan.

LKIM juga turut menyalurkan peruntukan sebanyak RM120,000 kepada dua Pusat Pengumpulan dan Pengedaran Hasil Perikanan(CCDC) di Kampung Durian Tunjong dan Kampung Lubok Temiang.

Muhammad Faiz berkata, peruntukan itu bagi membolehkan kedua-dua Pusat Pengumpulan dan Pengedaran Hasil Perikanan (CCDC) mendapat Coldroom sekali gus membolehkan pusat itu meningkatkan produktiviti.

Hadir sama, Ahli Parlimen Labuan Datuk Suhaili Abdul Rahman, Pengarah LKIM Wilayah Persekutuan Labuan Fadhilah Azib dan Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Wilayah Persekutuan Labuan Hassan Jinin.