UMS – Yun Fook Resources bangunkan penyelidikan perladangan kelapa sawit di Keningau

KENINGAU: Pusat Pengurusan EcoFarm (EcoFarm) Universiti Malaysia Sabah (UMS) membangunkan bidang penyelidikan dan pembelajaran berkaitan perladangan kelapa sawit bersepadu di Keningau.

Majlis pelancaran menerusi kerjasama UMS dengan Yun Fook Resources berlangsung di Pusat Penyelidikan Makanan ternakan (PPMT) Kampung Apin-Apin Keningau, yang juga dikenali sebagai AFEEDRI, baru-baru ini.

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Kasim Mansor berkata pelancaran tersebut merupakan kesinambungan daripada kerjasama yang telah dimeterai oleh kedua-dua pihak sewaktu lawatan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ke UMS pada Jun lalu.

“Pelancaran ini merupakan titik permulaan kepada kerja-kerja di lapangan bagi projek berkenaan, yang mana kawasan perladangan kelapa sawit bersepadu telah dibersihkan dan akan ditanam dengan pokok kelapa sawit, sesuai dengan penyelidikan yang dipersetujui dalam memorandum perjanjian.

“Tanaman lain yang akan disepadukan dengan tanaman kelapa sawit adalah seperti durian, nangka, avokado dan tanaman jangka pendek seperti tembikai untuk menambah nilai ekonomi ladang berkenaan,” jelasnya menerusi satu kenyataa, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof Ir. Dr. Rosalam Sarbatly menjelaskan  kesesuaian tanaman dengan keadaan cerun dan nutrien tanah, sumber air dan saliran telah dipertimbangkan oleh penyelidik UMS.

Katanya, bekalan air disalurkan menggunakan teknik fertigasi pintar ke kawasan yang agak kering untuk membolehkan tanaman berkenaan tumbuh dan mengeluarkan hasil menepati keperluan industri.

“Ini sesuai dengan hasrat kerajaan negeri melalui Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya yang menekankan penggunaan teknologi dalam memantapkan industri pertanian,” ujarnya.

Pengarah EcoFarm, Ts. Dr. Januarius Gobilik berkata projek penanaman kelapa sawit bersepadu seluas 33 ekar itu dijangka akan selesai pada bulan ini.

Katanya penyelidikan dan pembelajaran yang berkaitan akan dijalankan selari dengan kemajuan projek tersebut.

“Selain projek perladangan kelapa sawit bersepadu, projek lain di tanah UMS, Kampung Apin-Apin adalah perladangan kelapa (pandan dan tacunan) bersepadu yang dijalankan oleh UMS bersama Malaysian Kuwaiti Investment Corp. Sdn. Bhd. (MKIC).

“Kerja pembukaan tanah bagi projek MKIC sudah bermula dan pelancaran dijangka akan dilaksanakan pada penghujung Oktober,” tambahnya.

Selain itu, katanya, UMS juga sedang dalam usaha memajukan kawasan tanah UMS di Mesilou, Kundasang sebagai Pusat Penyelidikan dan Pembelajaran Pertanian Tanah Tinggi.