LABUAN: Ketua Bahagian UMNO Labuan Datuk Mohd Rafi Ali Hassan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan yang diadakan di pejabatnya Putrajaya, semalam.
Menurut Mohd Rafi, pertemuan empat mata itu untuk menyampaikan hasrat dan suara rakyat Labuan berkenaan keistimewaan Labuan sebagai Pulau Bebas Cukai dan harga beras yang tinggi di pasaran Labuan sejak beberapa minggu yang lalu.
Mohd Rafi yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO turut menjelaskan beberapa cadangan yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan.
“Antara cadangan yang saya minta kembalikan semula status Pulau Bebas Cukai ini sepenuhnya seperti yang pernah dinikmati oleh rakyat Labuan sebelum Labuan diiktiraf sebagai Wilayah Persekutuan.
“Begitu juga tentang harga beras di Labuan yang agak tinggi dan saya telah menjelaskan di Labuan terdapat aktiviti pemindahan kapal (transhipmentl telahpun berlaku sejak sekian lama mengimport beras dan gula daripada negara pengeluar yang dibawa masuk ke Labuan dan daripada Labuan dieksport semula ke Selatan Filipina,” katanya.
Bagaimanapun katanya, beras yang dibawa dari negara luar itu tidak boleh dijual dipasaran Labuan disebabkan Labuan tidak mempunyai permit import beras daripada kerajaan.
Justeru itu, katanya, beliau telah menyampaikan hasrat ini agar kerajaan dapat memberikan kelulusan pemberian pengimport beras agar pemborong beras yang ada di Labuan sentiasa mendapat bekalan yang mencukupi.
Mohd Rafi berkata, hasil daripada pertemuan dan perbincangan itu telah mendapat respon yang cukup baik daripada Timbalan Menteri Kewangan I.
Malah katanya, Ahmad Maslan berjanji akan mengangkat dan menyampaikan hasrat dan masalah yang dihadapi oleh rakyat Labuan ini kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Semoga usaha yang kita buat ini akan mendapat hasilnya dan kerajaan dapat membantu menyelasaikan permasalahan yang dihadapi oleh rakyat Labuan,” tambah Mohd Rafi.