Tangga laluan utama Kampung Gelam dinaiktaraf demi keselamatan penduduk

SANDAKAN : Tangga yang menjadi laluan utama di Kampung Gelam, Karamunting telah dinaiktaraf demi keselamatan penduduk setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, George Hiew Vun Zin telah menggunakan peruntukan ADUN beliau untuk membina susur tangan tangga (handrail) sepanjang 100 meter baru-baru ini.

Menurutnya, tangga tersebut telah dibina di kampung itu sejak beberapa tahun lalu dan kini menjadi laluan utama bagi penduduk.

“Saya dapat tahu ramai penduduk kampung sini yang menggunakan tangga ini termasuk warga warga emas dan pelajar sekolah.

“Oleh itu, tangga yang tiada susur tangan boleh membawa risiko bahaya kepada mereka terutama ketika hari hujan. Justeru, saya membuat keputusan untuk menaiktaraf tangga ini,” katanya di sini.

Menurutnya, keselamatan penduduk menjadi keutamaan dan beliau memberi perhatian serius untuk menyelesaikan isu yang berkaitan.

“Saya berharap penduduk khususnya di DUN Karamunting dapat hidup dalam keadaan selamat dan sejahtera,” jelasnya.

Sebagai wakil rakyat, beliau berkata akan memastikan peruntukan ADUN bukan sahaja akan sampai kepada rakyat, tetapi akan diagihkan secara adil agar mampu menyelesaikan masalah yang mendesak di kawasan Karamunting.