Kerajaan ambil kira keluhan rakyat Sabah dan Sarawak mengenai harga beras yang tinggi – PM

KOTA KINABALU: Perdana Menteri berkata kerajaan mengambil keputusan memberikan subsidi untuk beras putih import (BPI) di Sabah dan Sarawak bagi menurunkan harganya selepas mengambil kira keluhan rakyat kedua-dua negeri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah sementara itu juga mengambil kira peratus pengeluaran beras tempatan di Sabah yang kini hanya kira-kira 25 peratus menyebabkan rakyat terpaksa bergantung kepada beras import.

“Perkembangan semasa terutama yang menyentuh Sabah dan Sarawak dua hari yang lalu, kita mendapat tahu dan mendengar keluhan rakyat mengenai harga beras yang meningkat dan membebankan.

“Seperti kita sudah maklum bahawa beras tempatan tidak tersebar luas, iaitu hanya 25 peratus saja di Sabah, maka di sini terpaksa bergantung kepada beras import.

“Pada Isnin lalu kita panggil menteri dan beberapa pegawai Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk mendengar pandangan dan kita putuskan supaya langkah sementara dipanggil melalui subsidi kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutupan Konvensyen Pengurusan Hal Ehwal Islam sempena Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Menteri SabahbDatuk Seri Panglima Hajiji Noor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga EXCO Agama Negeri Sabah Datuk Mohd Arifin Arif.

Anwar berkata, kerajaan memilih untuk mengumumkan pemberian subsidi bagi memastikan rakyat Sabah dan Sarawak, terutama yang miskin dan berpendapatan rendah tidak dibebankan dengan harga beras yang tinggi.

“Saya dimaklumkan oleh kerajaan negeri dan pegawai bahawa ada tempat harga beras import di Sabah ketika ini RM45 , ada RM41 ada RM39, jadi bagaimana kita nak kurangkan harga beras, ini keperluan harian untuk makanan keluarga.

“Maka Isnin lalu kita umumkan untuk mengurangkan tekanan rakan-rakan Sabah dan Sarawak dengan turunkan harga beras import daripada RM45 kepada RM31,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan akan mencari jalan untuk memastikan BPI di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak tidak terlalu tinggi disebabkan kos pengangkutan.

Katanya, langkah itu perlu memandangkan harga di kawasan pedalaman dijangka masih tinggi walaupun kerajaan memberikan subsidi untuk menurunkan harga BPI kepada RM31 bagi kampit 10 kilogram, mulai esok.