KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan hubungan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sabah akan terus dikukuhkan terutama dalam pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, sejak mengambil alih kerajaan, pihaknya sedaya upaya melaksanakan apa sahaja yang termaktub dalam perjanjian berkenaan.
“Perjanjian yang dilaksanakan oleh bapa-bapa terdahulu itu adalah hasil pemeteraian dari muafakat Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
“Jadi tugas saya, generasi kami adalah untuk melaksanakan perjanjian berkenaan. Saya bagi jaminan hubungan kerjasama erat dengan sahabat saya saudara Datuk Seri Panglima Hajiji (Ketua Menteri Sabah), kita akan tingkatkan usaha serta mendengar apa-apa hal yang perlu dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penangguhan Konvensyen Pengurusan Hal Ehwal Islam sempena Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, malam tadi.
Perdana Menteri berkata beliau berterima kasih kepada pemimpin Pakatan Harapan (PH) Sabah yang baru-baru ini menarik balik saman pemula terhadap kerajaan berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah atas keyakinan terhadap kerajaan untuk melaksanakan MA63.
“Saya ucap terima kasih kerana mereka menarik balik saman terhadap Kerajaan Persekutuan. Sejak kita ambil alih kerajaan dan Ketua Menteri Hajiji sedia maklum, saya telah mengarahkan sedaya upaya kita untuk melaksanakan apa yang kita janjikan menerusi MA63,” kata Anwar.