Pemborong, peniaga naikkan harga beras putih import akan diambil tindakan tegas

SANDAKAN: Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Sandakan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap pemborong dan peniaga yang menaikkan harga beras putih import daripada yang ditetapkan.

Ia susulan pengumuman oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengenai pemberian subsidi daripada kerajaan sebanyak RM950 setiap tan bagi bekalan beras putih import di Sabah dan Sarawak berkuatkuasa hari ini.

Ketua Cawangan KPB Sandakan, Mohamad Saiful Nizam Adnan berkata pihaknya telah mengedar surat arahan disetiap peringkat untuk pelaksanaan harga subsidi beras putih import mengikut yang ditetapkan kerajaan.

“Pemantauan berterusan akan dilaksanakan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan di peringkat bandar mahupun luar bandar.

“Kita akan mengambil tindakan tegas termasuk menarik balik lesen terhadap mana-mana pihak yang tidak mengikut arahan,” katanya selepas melakukan pemantauan harga beras putih import bersama KPDN Cawangan Sandakan di beberapa syarikat pemborong dan pasaraya di Sandakan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah, KPDN Cawangan Sandakan, Azdy Zukkry John berkata bekalan beras di daerah ini mencukupi dan boleh menampung permintaan pengguna sehingga tempoh tiga bulan.

“Bekalan beras di peringkat pemborong mencukupi dan hari ini harga beras putih import diturunkan. Oleh itu, saya berharap pengguna tidak risau dan tidak perlu berebut-rebut membeli beras.

“Sekiranya ada kedai yang masih menjual beras putih import pada harga lama, mohon maklumkan kepada KPDN dan KPB untuk pihak kami mengambil tindakan,” jelasnya.

Sementara itu, ketika ditanya adakah penurunan harga beras import putih akan memberi impak kepada Jualan Rahmah, Azdy berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama wakil vendor terlibat.

“Untuk makluman saya ada membuat mesyuarat bersama vendor Jualan Rahmah dan beras menjadi topik utama dalam perbincangan ini.

“Kami akan berbincang lagi selepas ini bagi menentukan harga beras yang sesuai dijual pada Jualan Rahmah terutama untuk hujung minggu ini,” jelasnya.