KOTA KINABALU : Sekumpulan pelajar Fakulti Perhutanan Tropika (FPT) Universiti Malaysia Sabah (UMS) mendekati komuniti Kampung Seri Serbang Bongawan, Papar bagi memperkenal kemudahan teknologi digital dalam industri ekopelancongan.
Lima pelajar dikenali sebagai kumpulan Reckers itu berkongsi tentang penggunaan teknologi digital dan pengendalian media sosial dalam memajukan sektor ekopelancongan di pusat pelancongan Kalimpapat Enterprise.
Menurut mentor program, Awang Ahmad Mohd Yunus, program tersebut sebagai memenuhi salah satu tugasan yang harus dilakukan oleh kumpulan berkenaan dalam Pertandingan Impact Digital with Community Tourism (IDCT)2023 anjuran Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Katanya, program tersebut antara lain sebagai salah satu usaha membantu komuniti mempromosikan destinasi pelancongan melalui penggunaan teknologi digital.
“Pertandingan IDCT 2023 disertai oleh institusi pengajian tinggi di Sabah dan Sarawak, dan UMS tidak terkecuali. Salah satu syarat pertandingan ini adalah dengan mengadakan aktiviti bersama komuniti.
“Justeru, kami memilih pusat pelancongan Kalimpapat Enterprise untuk program pemindahan ilmu kali ini. Dengan adanya kerjasama antara universiti, komuniti dan industri, program seumpama ini dapat meningkatkan potensi aktiviti pelancongan sekali gus meningkatkan pendapatan komuniti tempatan.
“Promosi destinasi pelancongan dengan menggunakan platform digital dapat menarik lebih ramai pelancong serta memperkembang peluang sedia ada untuk terus meningkatkan bilangan pelancong ke tempat ini,” ujarnya.