KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi usaha pelajar pascasiswazah Program Sarjana Kesihatan Awam [MPH] menganjurkan Program Sihat Sinergi di Kg. Long Pasia, Sipitang baru-baru ini.
Penganjuran ini dijayakan bersama kerjasama daripada KPT Prihatin Komuniti Sejahtera (KRIS), Hospital UMS dan Kelab Sukarelawan Pacuan Empat Roda UMS (UMS4WDVC).
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Profesor Dr. Shahril Yusof berkata, program ini merupakan inisiatif penting dapat memberikan manfaat besar kepada masyarakat di kawasan pedalaman Sabah.
“Penyakit tidak berjangkit semakin menular dalam masyarakat kita seperti diabetes, hipertensi, penyakit jantungdan obesiti bukan sahaja memberi impak negatif kepada kesihatan individu tetapi juga menjejaskan produktiviti dan kesejahteraan keluarga serta komuniti.
“Langkah-langkah pencegahan melalui amalan gaya hidup sihat dan pemakanan seimbang adalah amat penting untuk mencapai tahap kesihatan yang baik,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Shahril berkata, amalan gaya hidup sihat perlu dilakukan termasuk pemakanan seimbang, bersenam serta mengelakkan pengambilan gula, garam dan lemak tepu yang berlebihan
“Terdapat satu cara pengambilan makanan harian secara sihat iaitu dengan konsep suku-suku separuh.
“Aktiviti senaman fizikal sekurang-kurangnya 30 minit setiap hari boleh mengekalkan berat badan yang ideal, menjaga kesihatan jantung dan mengurangkan risiko pelbagai penyakit,” jelas Shahril.