UMS, MTIB Jalin Kerjasama Perkukuh Industri Perkayuan

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjalin kerjasama strategik bersama Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) yang memberi fokus kepada penyelidikan, pembangunan inovasi dan latihan industri dalam sektor perkayuan negara.

Majlis menandatangani MoU itu berlangsung di Bilik Mesyuarat Lembaga Eksekutif, Bangunan Canselori UMS, melibatkan Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor, dan Ketua Pengarah MTIB, Saiful Bahri Salleh.

Menurut Kasim, kerjasama ini menjadi titik tolak penting dalam memperkukuh hubungan antara dunia akademik dan industri, khususnya sektor perkayuan yang menyumbang besar kepada pembangunan negara.

“Usaha ini bukan sahaja membuka peluang lebih luas untuk penyelidikan bersama, pemindahan teknologi serta inovasi, malah memberi manfaat kepada pelajar UMS melalui latihan industri dan pendedahan praktikal yang memenuhi kehendak pasaran semasa,” katanya.

Beliau berkata, langkah itu juga membolehkan universiti menyelaras hasil penyelidikan dengan keperluan sebenar industri, sekali gus memastikan kajian dapat diterjemahkan kepada produk, dasar serta amalan terbaik yang memberi impak positif kepada masyarakat.

Kasim turut menekankan potensi besar dalam memperluas kerjasama ke arah pembangunan produk hiliran berasaskan kayu serta penerokaan bidang reka bentuk dan seni bina kayu yang diyakini mampu meningkatkan nilai tambah kepada industri.

“Kerjasama ini diharap dapat menjadi pemangkin pembangunan modal insan yang inovatif, berdaya saing serta mampu menghadapi cabaran global, sejajar dengan aspirasi UMS melahirkan graduan berkualiti tinggi,” ujarnya.