KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong, hari ini, bagi mempersembahkan Surat Akuan tambahan sebagai lanjutan warkah sebelum ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khasnya hari ini bahawa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinannya masih mempunyai majoriti, adalah tidak benar.
Ahmad Zahid yang Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, sebelum ini PN hanya mempunyai 114 Ahli Parlimen yang menyokong.
“Saya mempersembahkan warkah yang melampirkan lapan Surat Akuan Ahli-Ahli Parlimen UMNO kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 30 Julai 2021, bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
“Ini cukup untuk menunjukkan kepemimpinan beliau sudah hilang majoriti, biarpun sebenarnya jumlah berkenaan melebihi daripada itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Justeru, Ahmad Zahid berkata, UMNO mencabar kerajaan untuk segera memanggil sidang khas Parlimen bagi membuktikan Perdana Menteri masih mempunyai majoriti tanpa menunggu sehingga persidangan Parlimen pada September ini.
“Selepas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat ketetapan mutakhir pada 3 Ogos 2021, bagi menarik sokongan terhadap kerajaan PN dan Perdana Menteri, atas asas mahu berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, jumlah surat akuan Ahli Parlimen UMNO bertambah lagi,” katanya.
Muhyiddin dalam perutusan khasnya hari ini, menjelaskan kedudukannya sebagai Perdana Menteri masih utuh dan mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Katanya, perkara itu dimaklumkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, ketika sesi menghadap Seri Paduka, pada jam 11 pagi tadi di Istana Negara.
Pada sesi menghadap hampir sejam itu, Muhyiddin mendedahkan bahawa beliau menyembah maklum mengenai penerimaan jumlah surat akuan bersumpah (SD) yang disifatkan sebagai meyakinkan.