Ahli perniagaan didenda RM24,000, palsukan dokumen tender RM1.87 juta

KOTA KINABALU: Ahli perniagaan didenda RM24,000 di Mahkamah Rasuah Khas di sini, hari ini selepas mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan tender bernilai RM1.87 juta.

Tertuduh, Mohd Terus Megin, 49, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Abu Bakar Manat, laporan Harian Metro hari ini.

Hakim kemudiannya menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM8,000 bagi setiap pertuduhan dan boleh dipenjara selama empat bulan jika gagal membayar denda terbabit.

Mohd Terus didakwa melakukan kesalahan itu pada 24 November 2016 dengan menggunakan dokumen palsu membabitkan penyata akaun bank sebuah syarikat bertarikh 31 Julai dan 31 Ogos 2016.

Dokumen itu digunakan bagi mendapatkan tender perkhidmatan membekal makanan bermasak ke asrama sebuah sekolah menengah di Kota Belud bagi tempoh 1 Mac 2017 hingga 28 Februari 2019.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 Kanun yang sama dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Pada 15 Mac lalu, mahkamah merekodkan pengakuan salah tertuduh dan isterinya, Rosnizah Jamilide, 31, dan menetapkan hukuman bagi tertuduh pertama dilakukan pada hari ini.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa, Norsham Saharom, manakala tertuduh diwakili JP Keruak.