KUALA LUMPUR : Seorang Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin, menegaskan parti itu tidak akan sesekali mengkhianati kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ditubuhkan secara bersama.
Sehubungan itu, beliau meminta seluruh ahli UMNO untuk terus bersama Timbalan Perdana Menteri, yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ahli Parlimen dalam menyokong kerajaan.
“Kita tidak mahu UMNO sewaktu dalam keadaan badai dan ribut ini menebuk lubang pada bahtera kita. Kita tak nak UMNO khianati kerajaan yang kita tubuh hari ini,” katanya pada sidang media, di pejabatnya, dalam laporan Barita Harian Hari ini.
Sementara itu, Zahidi yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, berkata saranan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan supaya parti itu menyokong PN tetapi tidak menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri adalah tidak praktikal.
“Kalau nak amal dalam UMNO, kita boleh cuba. Sokong UMNO tetapi tidak sokongan Presiden. Kalau berjaya dalam UMNO, baru kita cadang kepada parti lain,” katanya.